Friday, May 24, 2013

Latihan: Penggunaan Bahasa Melayu!


Hello para pelajar! Kali ini Cikgu Ju mahu uji kamu tentang penggunaan Bahasa Melayu. Ayuh cuba! 








Peribahasa








Jom cari Kata Adjektif !


Kisah Sang Kancil dan Monyet,

Terdapat banyak Kata Adjektif  dalam video ini.
Pilih lima Kata Adjektif dan post diruangan comment.

Terima Kasih.

Puisi Hari Guru!

Apa yang kita lakukan jika ingin membalas jasa sesorang? ermm bagaimana dengan jasa seorang guru?...jeng jeng jeng...
Sebagai tanda cikgu menghargai jasa baik guru, jadi hari ini cikgu baik hati ingin berkongsi satu peta minda mengenai Sajak Hari Guru. 
Mudahkan jika ada peta minda. Ini adalah satu teknik untuk memudahkan kamu belajar. Selain itu kamu boleh melawati blog http://tamanseribupuisi.blogspot.com/2012/05/sajak-hari-guru-selina-sf-lee.html kerana dalam blog ini terdapat banyak pelajaran komsas dan puisi.
Selamat maju jaya....chaiyok..

Betulkan yang biasa, biasakan yang betul


 LATIHAN UNTUK ANDA!




Sumber: Kursus Dewan Bahasa dan Pustaka
              Tengku Fauziah Ku Ma
              Pegawai Perancang Bahasa

Gaya bahasa!

Selamat pagi pelajar sekalian...dah sarapan...

Sebelum ini cikgu ada menerangkan jenis-jenis gaya bahasa dalam sajak, syair dan pantun.Hari ini cikgu mahu kamu lawat blog yang menerangkan teknik-teknik menjawab soalan gaya bahasa dalam sajak dengan klik ke link di bawah.
http://ayisgc65.blogspot.com/2009/07/teknik-menjawab-soalan-gaya-bahasa.html
 Semoga maklumat berkenaan memberi kamu manfaat untuk menjawab soalan...

Thursday, May 23, 2013

Mari belajar Kata Adjektif!


Hai para pelajar..! :)
Bertemu lagi dalam penerokaan ilmu. Kali ini kita akan belajar mengenai Kata Adjektif.

Lihat gambar di bawah. Apakah yang ada dalam fikiran kamu?


Pelbagai perkara pasti terlintas dalam fikiran kamu. Gambar tersebut memaparkan suasana sambutan hari sukan, di mana terdapat pertandingan tarik tali diadakan. Terdapat ramai pelajar yang gembira. Mereka memakai pakaian sukan pelbagai warna-hitam, putih, hijau. Mereka juga bersorak menyokong kumpulan masing-masing, menjadikan suasana tersebut bising dan hingar-bingar. Guru-guru pula-ada yang kurus, dan gemuk-berusaha sehabis tenaga memastikan kemenangan milik kumpulan.

Kesemua perkara yang dihitamkan merupakan kata adjektif.

Apakah Kata Adjektif?
Lihat peta minda di bawah ini:
  Para pelajar boleh layari laman Cikgu BM untuk nota yang lebih lanjut.
Sekarang, cuba lihat di sekeliling kamu, senaraikan beberapa sifat atau keadaan yang menepati kata adjektif!

Kata hubung!

Hello para pelajar! Berjumpa lagi dalam pembelajaran kali ini- Kata hubung. :)
  
Kata hubung ialah perkataan yang digunakan untuk menggabungkan perkataan dengan perkataan rangkai kata dengan rangkai kata ayat dengan ayat- terbahagi kepada tiga iaitu:
(a)    kata hubung gabungan,
(b)    kata hubung pancangan,
(c)    kata hubung berpasangan.
 
Contoh kata hubung tunggal dan kata hubung berpasangan/gabungan serta penggunaannya adalah seperti yang berikut:
 
Kata Hubung Gabungan / Pancangan
 
Contoh
Ayat Contoh
agar
Saya berharap agar kamu dapat menghubungi dia segera.
apabila
Mukanya pucat apabila disoal.
atau
Awak boleh menaiki bas atau teksi untuk ke sana.
bahawa
Kami yakin bahawa yang dikatakannya itu benar.
dan
Leela dan Siu Lan berjiran.
hingga
Ayah dan kawannya berbual hingga larut malam.
Jika
Saya berpayung jika hujan.
Jikalau
Jikalau saya kaya, saya akan membina rumah kebajikan.
kecuali
Semua murid Nadir kecuali Gopal.
kerana 
Aini menangis kerana terlalu sedih.
lalu      
Burung itu terbang lalu hinggap di dahan pohon.
manakala
Baju Karim bersih manakala baju adiknya kotor.
sambil  
Zalifah bernyanyi sambil menari. 
serta
Zahid serta abangnya menonton wayang.
semenjak
Saya berkawan dengannya semenjak kecil.
sementara
Berusahalah sekuat mungkin sementara badan masih sihat.
sungguhpun
Sungguhpun buta, orang Itu mampu berdikari.
supaya
Belajarlah bersungguhsungguh supaya pandai.
walaupun
Walaupun letih, diselesaikannya jugs kerja ItU.
tetapi
Badannya besar tetapi penakut.

Kata Hubung Berpasangan
          
 
Contoh
Ayat Contoh
Baik - mahupun
Baik lelaki mahupun perempuan sama-sama bergotong royong membersihkan balai raya itu.
Baik- baik
Baik Daud baik adiknya samasama pintar.
bukan sahaja malah
Fuad bukan sahaja nakal malah suka ponteng sekolah.
entah    entah
Jangan lekas percaya akan janjinya, entah betul entah tidak.
Jangan – pun
Jangankan sepuluh ringgit, seringgit pun dia tak ada.
Kian – kian
Kian lama kian banyak orang yang ke sana.
Sama ada – ataupun
Guru Besar meminta sama ada bapa ataupun ibu murid hadir ke Sekolah.
sedangkan...inikan pula
Sedangkan Gunung Kinabalu terdaki olehnya inikan pula Bukit Larut.
semakin...semakin
Encik Husin semakin kaya semakin pemurah.
sungguhpun...tetapi
Sungguhpun badannya gemuk tetapi dia kuat berlari.
walaupun...namun
Walaupun cacat namun Guan rajin berusaha.
 
Contoh kata hubung dalam bentuk Akar
 
Dan
hingga
lalu
ketika
Dengan
yang
tetapi
jika
Kerana
serta
kalau
kemudian
demikian
walhal
walau
agar
atau
demi
supaya

 
Contoh kata hubung dalam bentuk terbitan.
 
semasa
sementara
seharusnya
andaikata
semoga
seketika
sebaliknya
sedangkan
setelah
sesungguhnya
walaupun
itupun
sewaktu
seandainya
meskipun
sekali[un
mudah-mudahan
moga-moga
jikalau
bagaimanapun
padahal



 
 
Baiklah para pelajar.  
Cuba kamu bina lima ayat yang menggunakan kata hubung. Kamu boleh tinggalkan jawapan kamu di ruangan komen. 
 
Contoh ayat:
1. Menggabungkan dua ayat:
    Azhar dan Malek pergi ke Pulau Pinag.
2. Menggabungkan dua rangkai kata:
    Kita boleh pergi ke Mekah dengan kapal terbang atau kapal laut.
3. Menggabungkan ayat-ayat:
    Negara itu mengeluarkan hasil galian yang banyak tetapi rakyatnya masih miskin dan menderita.
Selamat mencuba! :)

Wednesday, May 22, 2013

Mari belajar gaya bahasa KOMSAS!

 Hai para pelajar! Adakah kamu biasa mendengar ungkapan estestika seperti pohon nyiur melambai seperti menggamit kedatangan dan indah sang gadis bak bulan purnama? Indah sungguh gaya bahasanya.  

Adakah kamu tahu bahawa dalam bidang sastera, terdapat istilah khusus. Mari kita lihat beberapa istilah tersebut!




1. Anafora -Pengulangan kata pada awal baris

2. Responsi -Pengulangan kata pada tengah-tengah baris

3. Epifora -Pengulangan kata pada akhir baris

4. Repitasi / Repitisi -Pengulangan kata pada baris yang sama

5. Simplok -Pengulangan kata pada awal dan akhir baris yang sama

6. Sinkof / Sinkope -Penggunaan singkatan kata

7. Metafora -Perbandingan secara tidak langsung atau kiasan atau perbandingan yang    mempunyai dua kata yang berisi konkrit dan abstrak.

8. Simile -Perbandingan atau kiasan secara langsung yang bersendi laksana, seperti, bak, umpama, bagaikan dan sebagainya

9. Personifikasi -Penggunaan unsur kemanusiaan terhadap unsur bukan manusia

10. Hiperbola -Penggunaan unsur yang melampau

11. Hybrid-Penyatuan dua kata menjadi satu kata

12. Inversi- Pembalikan kata

13. Paradoks -Penggunaan unsur positif dan negatif dalam satu baris puisi

14. Asonansi -Pengulangan bunyi vokal

15. Aliterasi- Pengulangan bunyi konsonan 

Cuba kamu lihat ungkapan di bawah. Nyatakan jenis gaya bahasa yang terbabit.

1. Rintik hujan menampar muka.
2. Permatang padi indah sungguh!
3. Laut dan ombak saling menyatu bak sahabat yang tak pernah terpisah. 

Selamat mencuba! 

Subjek penulisan!

 Apa khabar para pelajar? Moga lebih ceria dalam pembelajaran kali ini! :) Cikgu Yani akan membincangkan mengenai subjek penulisan di sekolah rendah dan menengah. Para pelajar boleh klik pautan ini untuk bacaan dari sumber asal.


             Adakah anda masih ingat akan subjek Penulisan ketika di sekolah rendah dan juga menengah? Pasti ramai yang akan tersenyum sinis apabila dipersoalkan tentang soalan ini. Di dalam benak pemikiran setiap orang pasti terimbau kembali wajah guru yang mengajar mereka untuk subjek Penulisan ini. Ada juga yang mungkin terfikir akan betapa malasnya menyiapkan kerja sekolah setiap kali hujung minggu apabila dibekalkan dengan kerja membuat karangan sebanyak dua tajuk setiap kali tiba hujung minggu. Mungkin ada dikalangan anda yang akan menyiapkan kerja sekolah membuat karangan ini ketika waktu malam Ahad sebelum bermulanya sesi persekolahan pada Isnin pagi berikutnya.
                 Sebenarnya ramai anak muda Melayu kita mempunyai kemahiran dalam bidang penulisan pada zaman awal persekolahan mereka. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk menghasilkan karangan yang panjang sehingga menjangkau tujuh dan lapan perenggan bagi murid sekolah rendah. Sekiranya ingin mengira jumlah patah perkataan yang ditulis maka akan bertambahlah bilangannya setiap kali menghantar latihan kerja sekolah ini. Mungkinkah pelajar hari ini masih lagi berusaha sedaya upaya untuk menulis karangan yang panjang untuk mendapatkan markah yang penuh kerana semakin panjang karangan yang ditulis maka akan semakin bertambahlah jumlah isi kandungan karangan itu. Saya tidak terfikir yang pelajar sekolah rendah pada hari ini akan menulis karangan yang begitu panjang kerana pihak sekolah atau Kementerian Pelajaran akan menapis berapakah had jumlah perenggan yang akan ditulis oleh pelajar bagi tujuan peperiksaan.
                Penulisan bagi saya adalah ekspresi dalaman setiap orang tentang bagaimana mereka meluahkan sesuatu tajuk yang dituliskan ke dalam bentuk ayat. Menulis memang tidak susah tetapi menulis dengan susunan ayat yang baik disusuli pula dengan keindahan bahasa yang cantik menyerikan lagi sesuatu karangan yang ditulis itu. Tujuan menulis disamping untuk tujuan bercerita perlulah disertakan dengan perasaan yang mudah difahami kerana orang yang akan membaca karangan itulah yang akan menjadi penilai kepada kualiti penulisan kita. Sebenarnya sikap suka menulis ini perlu diterapkan ke dalam budaya kita seharian sama seperti kita menerapkan budaya suka membaca dikalangan anak-anak dan orang dewasa.
                Untuk menulis kita memerlukan modal iaitu idea atau sekurangnya pengalaman tentang suatu tajuk yang akan diceritakan. Di sini ia menggalakkan setiap orang cuba untuk mencari maklumat mengenai suatu tajuk dan dibiarkan menulis dalam gaya bahasa mereka tersendiri termasuklah pandangan peribadi mereka. Minda perlu sentiasa diasah untuk berfikir dan sentiasa diluahkan supaya apa yang difikirkan tidak hanya terbiar begitu sahaja. Baik atau buruk setiap ekspresi dalam bentuk penulisan itu boleh mengurangkan tekanan yang dihadapi. Selain itu juga melalui penulisan mereka boleh membayangkan mengenai sesuatu yang tidak mungkin akan berlaku dalam kehidupan sebenar atau ia hanyalah rekaan semata-mata. Ini dipanggil imaginasi dan di zaman ini imaginasi perlu mendahului teknologi kerana ia akan membawa kepada suatu perubahan melalui apa yang telah kita fikirkan hari ini untuk masa depan.
                Jadi, sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak, perlulah mengambil satu langkah kehadapan dengan menggalakkan anak mereka untuk memulakan sikap suka menulis disamping diterapkan sikap suka membaca. Apa yang telah dilakukan oleh para guru di sekolah amatlah bertepatan dengan memberikan latihan menulis karangan hampir setiap minggu. Ini adalah salah satu langkah dalam cubaan untuk memartabatkan bahasa Melayu bagi golongan Melayu supaya tidak melupakan bahasa sastera yang  hanya boleh dijumpai melalui buku-buku yang ditulis oleh penulis lama. Kosa kata yang digunakkan oleh penulis lama adalah lebih klasik dan jarang didengari dalam masyarakat Melayu moden hari ini. Bahasa ini mungkin akan menjadi lebih janggal digunakan sekiranya ia tidak sentiasa diperlihatkan kepada anak bangsa kita pada hari ini. Oleh itu marilah kita menetapkan bahawa setiap hujung minggu , kita cari satu topik yang mudah dan luahkan pandangan kita terhadap tajuk tersebut dan catatkan di dalam buku atau mana-mana media elektronik. Hari yang semakin canggih ini sepatutnya mampu menambahkan kualiti dan mutu gaya penulisan bangsa hari ini dalam kemahiran membuat karangan.
 “Jadikan Hujung Minggu Sebagai Hari Untuk Menulis”.


Selamat belajar!

Menulis karangan yang baik!

 Para pelajar yang dikasihi. Kali ini Cikgu Yani akan berkongsi tips dan syarat dalam menulis karangan yang baik.

Kejelasan dan ketepatan:
  • Isi-isi atau hujah dalam karangan hendaklah disampaikan dengan cukup jelas dan tepat supaya tidak menimbulkan sebarang salah faham atau kekeliruan.
  • Setiap istilah atau konsep yang dipakai itu hendaklah cukup tepat dan betul, tidak mengelirukan. Istilah-istilah yang mempunyai lebih dari satu makna hendaklah diberi definisinya.
  • Isi-isi atau hujah-hujah yang hendak dikemukakan itu hendaklah disusun dengan baik misalnya mengikut urutan masa, urutan tempat, urutan kepentingannya, urutan kerumitan dan sebagainya.
  • Isi-isi atau hujah hendaklah saling berkaitan antara satu sama lain sehingga merupakan satu “ keseluruhan” ( unity ) , dan bukannya merupakan sekumpulan isi-isi atau hujah-hujah yang terpisah-pisah.
  • Setiap isi atau hujah yang dimasukkan itu hendaklah dapat memberi keterangan-keterangan atau sokongan kepada pokok perbincangan (tema) karangan yang berkenaan.
Penghujahan yang logik
  • Jagalah pertalian logis ( coherence ) di antara isi-isi atau hujah-hujah supaya tidak bertentangan antara satu sama lain. Kesalahan-kesalahan logik seperti ketidakcocokan ( incompatibility ), penghujahan berlingkar-lingkar ( circular argument ) dan sebagainya hendaklah dielakkan.

Gaya yang baik:
  • Apa yang dimaksudkan dengan gaya itu termasuklah cara susunan isi-isi , kelincinan jalan bahasa, pemerengganan ( paragraphing) , kejelasan tulisan dan sebagainya. Bahasa yang digunakan itu hendaklah tepat, jelas, ringkas, padat dan bernas. Ini bererti pemilihan kata-kata mestilah dilakukan dengan seteliti yang boleh dan betul tatabahasanya. Perlu diingatkan bahawa , “ gaya bahasa yang baik “ tidak semestinya bererti karangan itu penuh dengan apa yang dikatakan ‘ bunga-bunga bahasa “ – terutama sekali bunga-bunga bahasa yang tidak digunakan lagi ( usang ), lapuk dan kosong tidak bererti langsung. Bunga bahasa boleh dimasukkan pada tempat-tempat yang sesuai, pastikan juga bunga-bunga bahasa tidak terasa dibuat-buat ( iaitu mestilah natural ) dan dapat memberi sumbangan kepada penerangan tema karangan itu.

Keaslian:
  • Keaslian kedua-dua isi, bentuk atau bahasa adalah penting. Keaslian isi bererti karangan itu mengandungi idea-idea atau fikiran-fikiran segar, pengamatan dan pemahaman tajam serta mendalam (deep insight) lagi kaya dengan unsur-unsur “ wit “ dan “ homour “, sehingga karangan itu menarik atau sekurang-kurangnya tidak membosankan. Keaslian bentuk atau bahasa pula bererti karangan itu bebas dari ungkapan-ungkapan yang sudah lapuk ( cliché ) . Keaslian isi hanya boleh dicapai dengan memperkayakan lagi pengalaman hidup serta pengetahuan melalui berbagai-bagai bidang hidup dengan amalan banyak membaca. Keaslian bahasa hanya dapat dicapai melalui latihan menulis yang banyak ( praktikal ). Mempelajari bahasa bukan mempelajari teori-teori sahaja , tetapi teori dan praktikal. Perlu diingatkan bahawa, ketajaman pemikiran dan kemahiran bahasa adalah saling berkaitan rapat antara satu sama lain dan kedua-duanya berkaitan rapat pula dengan ilmu logik. Oleh itu mustahaklah para penuntut mempunyai asas-asas pengetahuan ilmu logik.
Sumber: Musa Sulaiman, PEDAGOGI BAHASA MELAYU: TEKNIK  BERKESAN  MENULIS KARANGAN

Pastikan kamu dapat menulis dengan lebih baik lagi berbanding sebelum ini. 

Practices makes perfect! :)

Format Karangan

 Para pelajar yang dikasihi. Cikgu Yani akan berkongsi nota dengan kamu mengenai format karangan. Ingat, format yang tepat membolehkan kamu mendapat markah yang elok untuk penulisan. Jika kamu salah format, maka kamu akan kehilangan markah! Sentiasa peka dengan kehendak soalan, ya!


Selamat belajar!  :)

Contoh karangan surat kiriman!

Seorang sahabat anda telah mengutus surat kepada anda. Dia meminta anda menceritakan persediaan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang bakal di hadapi pada hujung tahun ini.




Balas surat rakan anda itu.

Contoh karangan:
Oleh Justin Fernandes. Tingkatan 3 A, SMK Tun Mutahir, Melaka.


No. 23, Lorong 3, Jalan BBP3,
Taman Batu Berendam Putra,
75350 Melaka.
27 Julai 2012
      Menemui sahabatku Jet Seng yang berada di Kuala Lumpur. Saya berharap saudara berada dalam keadaan yang sihat dan sejahtera.

Saudara,

      Terlebih dahulu saya ingin menyusun  jari sepuluh memohon maaf kepada saudara kerana dah lama tidak membalas surat saudara. Kebelakangan ini saya sedang sibuk menyiapkan folio sejarah saya.

      Jika tidak silap saya, saudara meminta saya menceritakan tentang persediaan saya menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah yang bakal kita hadapi penghujung tahun ini kan? Sebenarnya tidak susah untuk membuat persediaan tersebut kerana terdapat banyak cara yang boleh kita ikuti.

      Antara persediaan yang saya lakukan ialah menjaga pemakanan saya dengan mengamalkan pemakanan yang seimbang. Pemakanan seimbang yang cukup dari segi karbohidrat, protin, vitamin dan mineral perlu diambil secara seimbang supaya minda kita kekal cergas dan otak sentiasa cerdas. Kita tidak sepatutnya mengambil makanan ringan seperti kerepek kentang dan lain-lain lagi sebab makanan ini mengandungi monosodium glutamate yang boleh mengakibatkan seseorang itu mudah lupa. Hal ini boleh menggangu pelajaran kita.

      Selain itu saya juga mengatur masa saya dengan sebaik-baiknya kerana masa itu emas. Saya mengatur masa saya supay tidak membuang masa terhadap sesuatu perkara yang tidak mendatangkan manafaat. Jadual masa juga membolehkan kita mengulang kaji dengan lebih sistematik dan teratur. Dengan ini, kita boleh meningkatkan prestasi untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan nanti.

      Di samping itu, saya akan pastikan kesihatan saya sentiasa terjaga dengan baik. Untuk itu saya akan bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu supaya badan saya akan sentiasa sihat dan bebas dari sebarang penyakit. Justeru itu janganlan mengabaikan kesihatan kita sehingga sakit baru hendak menyesal, bak kata pepatah 'sudah terhantuk baru terngadah'.

      Cara terakhir dan terpenting yang saya lakukan ialah mengulang kaji terlebih dahulu sebelum peperiksaan. Kita tidak patut mengulang kaji pada saat-saat terakhir kerana menurut kajian saintifik, kita tidak dapat menyerap semua benda yang kita baca jika kita mengulangkaji pada saat-saat terakhir. Bak kata pepatah, 'sediakan payung sebelum hujan'.

      Setakat ini saja yang dapat saya coretkan untuk tatapan saudara kali ini. Semoga kita dapat berjumpa lagi dalam lembaran yang akan datang.

                                                                                                                                        Sahabatmu,        

                                                                                                                                     Justin Fernandes   

Tuesday, May 21, 2013

Sajak Hari Guru!


Assalamu'alaikum dan selmat sejahtera para pelajar. Kali ini, Cikgu Zura akan berkongsi satu sajak dengan kamu, iaitu berkenaan Hari Guru.

Cuba kamu deklamasikan sajak ini dengan intonasi dan gaya yang bersesuaian!


Lebih menarik jika kamu boleh rakamkannya dan muat naik (upload) video tersebut ke laman mukabuku (facebook) Cikgu Edu!







Laman web Kata adjektif!

 Pelajar-pelajar, sila klik laman web dibawah untuk belajar kata adjektif!

Smartbees



Monday, May 20, 2013

Bahagian D PMR!

PANDUAN MENJAWAB SOALAN BAHAGIAN D - NOVEL PMR

BAHAGIAN D : PEMAHAMAN NOVEL

Panduan Menjawab Soalan Novel.
 Markah isi 6 markah dan markah bahasa 4.
 Jawapan berdasarkan novel-novel yang dipelajari.
 Jawapan hendaklah dalam ayat yang gramatis.
 Jangan lupa tulis nama novel ketika mula menulis jawapan.
 Isi harus disertakan dengan contoh. Sebaik-baiknya satu perenggan satu isi.

BAHAGIAN D ( KOMSAS ) 10 MARKAH.
1. Jumlah isi- 3 isi sahaja. 1 isi = 2 markah.
2. Perenggan- 3 perenggan.
3. Setiap isi wajib/mesti disertai dengan huraian atau contoh.
PENTING !!!!! Tanpa contoh tiada markah.
4. Permarkahan- Isi ( 6 markah ) - Bahasa ( 4 markah ).

Topik penting dalam Komsas. Cuba kamu buat contoh soalan di bawah!
1. Huraikan tema yang terdapat dalam novel yang anda kaji
    ( 10 markah )
2. Jelaskan persoalan-persoalan yang terkandung dalam novel yang anda kaji
    ( 10 markah ).
3. Huraikan perwatakan watak utama dalam novel yang anda kaji.
    ( 10 markah ).
    Bandingkan perwatakan watak utama dengan watak sampingan dengan
    memberikan contoh yang sesuai. ( 10 markah ).
4. Huraikan mesej/amanat/pengajaran yang anda peroleh dalam novel yang anda kaji
    ( 10 markah ).
5. Nyatakan nilai-nilai kemanusiaan yang anda ketahui dan huraikan dengan memberi
    contoh yang sesuai ( 10 markah ).
6. Jelaskan citra masyarakat yang terkandung dalam novel yang anda kaji  
     (10 markah ).
7. Huraikan citra wanita yang dapat dilihat dalam novel yang anda kaji
    ( 10 markah ).
8. Nyatakan gaya bahasa yang terdapat dalam novel yang anda kaji dan nyatakan
    contoh yang sesuai ( 10 markah )
9. Jelaskan apakah yang dimaksudkan dengan latar dan huraikan jenis latar yang
    anda ketahui ( 10 markah ).
10. Jelaskan teknik plot yang anda peroleh dalam novel yang anda kaji ( 10 markah ).

Bahagian C PMR!

Panduan Umum Karangan BM PMR

Panduan Umum Karangan BM PMR (Kertas 1 – Bahagian C – Respons Terbuka)

Pendahuluan
-keterangan ringkas perkara yang akan diberitahu dalam karangan.
-gambaran menyeluruh tentang perbincangan bahagian isi.
-perkara penting dalam pendahuluan- perlu ada ayat-ayat berikut:

A1. Kehendak soalan dikemukakan
A2. Isu yang berkaitan dengan soalan
A3. Keterangan isu yang berkaitan dengan kehendak soalan
A4. Hala tuju soalan-sebab/ faktor/ langkah/kesan

Contoh:
(A1)Sejak kebelakangan ini isu pencemaran alam sekitar sering diperkatakan oleh masyarakat
(A2) Pencemaran sumber air, tanah, dan udara oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan dunia ini
       seolah-olah semakin tidak selamat untuk didiami.
(A3) Walaupun pelbagai langkah telah diambil, namun isu ini seolah-olah tidak pernah menemui noktah
       penyelesaiannya.
(A4) Justeru, pelbagai langkah konkrit dan tidak bersifat hangat-hangat tahi ayam perlu digembleng untuk
        menangani isu lapuk ini daripada terus menghantui hidup rakyat Malaysia.

Jenis-jenis Pendahuluan

1. Pendapat tokoh-perlu relevan dan bersandar dengan fakta yang kukuh.
    Contoh: Bidang aeroangkasa di Malaysia mempunyai masa depan yang cerah sejajar dengan langkah kerajaan
    menghantar rakyat negara ini ke angkasa lepas. Menurut Menteri Sains,
    Teknologi, dan Inovasi, Dato’ Dr. Jamaluddin Jarjis...

2. Persoalan
    Contoh: Isu Mat Rempit semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Mengapakah isu ini terjadi? Apakah
    pihak berkuasa, khususnya polis tidak berjaya dalam melaksanakan tanggungjawab mereka? 

3. Definisi
    -berikan takrif yang tepat/jelas terhadap pokok persoalan
     Contoh: “Jenayah remaja” ditakrifkan sebagai perbuatan jenayah yang dilakukan oleh remaja yang di bawah  
      usia lapan belas tahun.

4. Suasana
    Contoh: Sebelum menghampiri simpang bertingkat itu, kami mendapati kesesakan lalu lintas yang agak teruk.
5. Peribahasa
    Contoh: Masyarakat Melayu terkenal dengan kepelbagaian peribahasanya. Peribahasa seperti “sudah gaharu  
    cendana pula, sudah tahu bertanya pula”, “ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras”...

6. Sejarah
    Contoh: Kemerdekaan Malaysia mencatatkan kisah perjuangan rakyatnya yang panjang. Bermula dengan  
    perjuangan yang dipelopori oleh Haji Abdul Rahman Limbong, Tuk Janggut sehinggalah diteruskan oleh Ustaz
    Abu Bakar Bakir dari Gunung Semanggol...

7. Isu Semasa
    -perlu dikaitkan dengan isu semasa yang sedang berlaku (berkait dengan peristiwa)
     Contoh: Peningkatan kadar tol lebuh raya baru-baru ini telah mencetuskan polemik dalam kalangan rakyat di
     negara ini. 
8.Gabungan – menggabungkan semua jenis pendahuluan di atas.

Pengembangan Isi
-komponen penting- mesti diolah dengan baik/ berkesan
-berdasarkan panduan:

1.Isi+Huraian+Contoh 
   (I+H+C)

2. 5W, 1H
    
(What, When, Where, Why, Who, How/ Apa, Mengapa, Bagaimana, Bila, Siapa, Di mana)

3. IMPAK
   ( I – Isi/ Langkah, M – Mengapa/ Sebab, P – Proses/ Cara/ Bagaimana, A – Alibi/ Contoh, K – Kesan / Akibat)

4. PUNCA (P - Punca/ Isi, U – Ulasan/ Huraian, N – Narrate/ Bagaimana, C – Contoh/ Bukti, A – Akibat/ Kesan)

Teknik Pengembangan Isi
-A1. Isi pokok diuatarakan
-A2. Mengapa berlaku/ perkara yang mahu disampaikan.
-A3. Bagaimana perkara itu boleh berlaku
-A4. Huraian urutan peristiwa itu berlaku.
-A5. peleraian isu/ beralih kepada idea/ isi baru (melalui penanda wacana – sungguhpun, walaupun, namun
       begitu, di samping itu...)

Contoh Pengembangan Isi
1. Deduktif (I+H+C)
- Sebagai pengguna, kita mestilah membuat perancangan sebelum... Contohnya, apabila menjelang musim perayaan, masyarakat sering berbelanja...

2. Induktif (H+C+I)
- Wang yang banyak tidak bererti kaya dan wang yang sedikit tidak bererti miskin. Yang penting bukan jumlah wang... Jadi, jelaslah bahawa pengguna memainkan peranan yang penting untukmembantu negara mengatasi masalah inflasi

3.Deduktif-Induktif (I+H+C+I)
- Untuk mengatasi masalah inflasi...Contohnya, kerajaan perlu menghidupkan...Oleh itu, sekali lagi perlu ditegaskan bahawa kempen...

Penutup
-bahagian yang sering diabaikan.
-frasa/ ayat yang digunakan: kesimpulannya, sebagai kesimpulan, berdasarkan keterangan-keterangan tersebut, jelaslah bahawa, natijahnya, sekian terima kasih, kalau ada sumur di ladang...
-perkara penting dalam penutup:
-A1. Kesimpulan menyeluruh perbincangan
-A2. Cadangan/ saranan
-A3. Harapan tentang isu yang dibincangkan
-A4. Menyatakan pendirian tentang persoalan.
Contoh:
(A1) Pendek kata, sikap tidak peduli umat Islam terhadap isu-isu yang berlaku di sekitar mereka menyumbang
       terhadap peningkatan sumbang mahram dalam kalangan masyarakat hari ini.
(A2) Justeru, usaha-usaha pencegahan sama ada berbentuk pendidikan mahupun penguatkuasaan undang-
       undang Islam perlu dilaksanakan secara menyeluruh. (A3) Sekiranya ia dapat dilaksanakan, bukanlah
       sesuatu yang mustahil isu ini dapat ditangani sepenuhnya. (A4) Sudah terang lagi bersuluh, pendidikan yang
       diringi penguatkuasaan undang-undang menyeluruh, mampu membentuk individu Muslim yang berjaya di
       dunia dan akhirat.
* gunakan ungkapan menarik, kata-kata hikmat, peribahasa, bidalan, perumpamaan, kias ibarat, pantun, simpulan bahasa, terjemahan hadis/ al qur’an yang bersesuaian, pandangan/ kata-kata tokoh dan sebagainya yang bersesuaian pada setiap perenggan – sekurang-kurangnya SATU pada setiap perenggan

Bahagian B PMR!

Teknik Menjawab Karangan PMR Bahagian B

BAHAGIAN B

KARANGAN BERPADU

Pengenalan

- Calon diminta menjawab karangan berdasarkan bahan rangsangan sama ada

dalam bentuk gambar, bahan grafik, jadual dan sebagainya.

- Biasanya tajuk yang dikemukakan adalah tentang kemasyarakatan,

keceriaan, kesihatan, pencemaran, dan sebagainya.

- Panjang karangan berdasarkan bahan rangangan ini hendaklah tidak

melebihi 120 patah perkataan.

- Karangan mesti disiapkan dalam tempoh masa 25 minit.

- Markah yang diperuntukan ialah 20 markah.

- Calon dinasihatkan agar banyak membaca bahan-bahan daripada majalah,

internet dan sebagainya untuk menambahkan pengetahuan.

- Karangan berdasrekan bahan rangsangan juga memerlukan calon untuk

berfikiran kreatif dan kritis.



Teknik Menjawab

1. Baca dan fahamkan kehendak soalan.

2. Cari kata kunci atau tugasan / kehendak soalan.

a. Huraikan pendapat anda tentang aktiviti riadah berdasarkan gambar yang diberi.

b. Huraikan pendapat anda tentang amalan-amalan murni berdasarkan gambar yang

diberi.

c. Huraikan pendapat anda tentang kegunaan bahan-bahan terbuang

berdasarkan gambar yang diberi.

3. Buat rangka karangan yang mengandungi pendahuluan, isi dan penutup.

4. Sebaik-baiknya kemukakan empat isi utama.

5. Baca karangan yang sudah siap ditulis untuk mengesan apa-apa

kesalahan yang mungkin terdapat seperti tanda baca, ejaan, kosa kata,

dan sebagainya.



Contoh Soalan:

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang aktiviti

bergotong-royong di sekolah anda. Panjang huraian anda hendaklah tidak

lebih daripada 120 patah perkataan.

* Gambar Tunggal Aktiviti bergotong-royong.(Maaf gambar tidak dapat dipaparkan)

Contoh Jawapan:

Aktiviti bergotong-royong di sekolah saya sering diadakan terutama pada hujung minggu atau cuti persekolahan. Semua warga sekolah terlibat dalam aktiviti tersebut. Lazimnya kami mengambil masa selama dua hingga tiga jam setiap kali aktiviti dijalankan.

Sebelum itu, Guru Penyelaras Program akan memberi taklimat tentng pembahagian kerja. Ada yang membersihkan bilik-bilik darjah, kawasan padang, mengecat bangunan, membersihkan tingkap, mengutip sampah, dan sebagainya.

Sebenarnya bekerjasama dalam membersihkan kawasan sekolah banyak memberi faedah. Bukan sahaja kawasan sekolah menjadi bersih, ceria, dan kemas malah amalan murni ini dapat menghapuskan tempat pembiakan nyamuk dan seranga lain yang menyebabkan penyakit. Di samping itu, secara tidak langsung hubungan antara warga sekolah dengan ibu bapa juga dapat dieratkan.

Selain murid-murid, pihak yang turut bekerjasama menjalankan aktiviti gotong-royong pada hari itu ialah guru-guru, pekerja sekolah, dan ibu bapa murid yang berkesempatan. Mereka membuat kerja-kerja yang lebih berat seperti mengangkat kerusi meja yang rosak ke dalam lori untuk dihapus kira, membersihkan longkang, dan mencantas dahan pokok.

Kesimpulannya aktiviti bergotong-royong yang telah dilaksanakan di sekolah patut diteruskan dari semasa ke semasa. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama supaya persekitaran sekolah sentaisa bersih dan ceria.

Bahagian A PMR!

Kertas Dua : Bahagian A
PENILAIAN MENENGAH RENDAH
BAHASA MELAYU
Kod 02/02
BAHAGIAN A (i)
RINGKASAN
Nota:
-  Calon dikehendaki meringkaskan petikan berdasarkan kehendaksoalan supaya menjadi
    tidak melebihi 80 patah perkataan.

-  Contoh:
o Tulis sebuah ringkasan tentang masalah penjualan
    buku-buku dalam bahasa Melayu.
o Tulis sebuah ringkasan tentang faktor-faktor yang
    menyebabkan banjir kilat di ibu kota.
o Tulis sebuah ringkasan tentang cara-cara memupuk
    minat membaca dalam kalangan kanak-kanak.

-  Biasanya petikan yang dikemukakan adalah rencana tentang isu-isu semasa.
-  Sebanyak 40 minit diperuntukan untuk menjawab Bahagian A(i) dan A(ii).
-  Markah yang diperuntukan pula ialah 20 markah.



Teknik Meringkaskan Petikan:

  • Calon perlu membaca dan memahami arahan soalan di samping memastikan  jumlah perkataan yang dikehendaki.
  • Baca petikan lebih daripada sekali dengan teliti sehingga betul-betul faham akan isi petikan tersebut.
  • Semasa membaca petikan, garisi perkataan yang menggambarkan isi yang dikehendaki oleh soalan.
  • Cuba gabungkan perkataan-perkataan tersebut untuk membentuk isi yang mantap.
  • Huraian isi dan contoh-contoh perlu ditinggalkan.
  • Calon digalakkan menggantikan huraian isi yang panjang dengan perkataantertentu atau istilah lain yang lebih sesuai.
  • Selepas menulis ringkasan itu sila kira jumlah perkataan sertasemak jikaterdapat kesalahan ejaan atau tatabahasa.
  • Markah maksimum untuk isi ialah 10 markah (5 isi x 2 = 10 markah); manakala
    markah maksimum 
    untuk bahasa ialah 10 markah(bergantung pada persembahan
    bahasa pelajar).
  • Tulis ayat-ayat baru dalam satu perenggan sahaja.
  • Salin hasil ringkasan dalam kertas jawapan dengan tulisan yang kemas. Kemudian,
    tulis jumlah 
    perkataan dibahagian kanak jawapan.
  • INGAT!!! Jangan salin ayat bulat-bulat daripada isi tersebut; dan jangan ubah
    kesemua perkataan 
    yang terdapat dalam isi tersebut kerana bimbang maksudnya akan terpesong.