Kejelasan dan ketepatan:
- Isi-isi atau hujah dalam karangan hendaklah disampaikan dengan cukup jelas dan tepat supaya tidak menimbulkan sebarang salah faham atau kekeliruan.
- Setiap istilah atau konsep yang dipakai itu hendaklah cukup tepat dan betul, tidak mengelirukan. Istilah-istilah yang mempunyai lebih dari satu makna hendaklah diberi definisinya.
- Isi-isi atau hujah-hujah yang hendak dikemukakan itu hendaklah disusun dengan baik misalnya mengikut urutan masa, urutan tempat, urutan kepentingannya, urutan kerumitan dan sebagainya.
- Isi-isi atau hujah hendaklah saling berkaitan antara satu sama lain sehingga merupakan satu “ keseluruhan” ( unity ) , dan bukannya merupakan sekumpulan isi-isi atau hujah-hujah yang terpisah-pisah.
- Setiap isi atau hujah yang dimasukkan itu hendaklah dapat memberi keterangan-keterangan atau sokongan kepada pokok perbincangan (tema) karangan yang berkenaan.
- Jagalah pertalian logis ( coherence ) di antara isi-isi atau hujah-hujah supaya tidak bertentangan antara satu sama lain. Kesalahan-kesalahan logik seperti ketidakcocokan ( incompatibility ), penghujahan berlingkar-lingkar ( circular argument ) dan sebagainya hendaklah dielakkan.
Gaya yang baik:
- Apa yang dimaksudkan dengan gaya itu termasuklah cara susunan isi-isi , kelincinan jalan bahasa, pemerengganan ( paragraphing) , kejelasan tulisan dan sebagainya. Bahasa yang digunakan itu hendaklah tepat, jelas, ringkas, padat dan bernas. Ini bererti pemilihan kata-kata mestilah dilakukan dengan seteliti yang boleh dan betul tatabahasanya. Perlu diingatkan bahawa , “ gaya bahasa yang baik “ tidak semestinya bererti karangan itu penuh dengan apa yang dikatakan ‘ bunga-bunga bahasa “ – terutama sekali bunga-bunga bahasa yang tidak digunakan lagi ( usang ), lapuk dan kosong tidak bererti langsung. Bunga bahasa boleh dimasukkan pada tempat-tempat yang sesuai, pastikan juga bunga-bunga bahasa tidak terasa dibuat-buat ( iaitu mestilah natural ) dan dapat memberi sumbangan kepada penerangan tema karangan itu.
Keaslian:
- Keaslian kedua-dua isi, bentuk atau bahasa adalah penting. Keaslian isi bererti karangan itu mengandungi idea-idea atau fikiran-fikiran segar, pengamatan dan pemahaman tajam serta mendalam (deep insight) lagi kaya dengan unsur-unsur “ wit “ dan “ homour “, sehingga karangan itu menarik atau sekurang-kurangnya tidak membosankan. Keaslian bentuk atau bahasa pula bererti karangan itu bebas dari ungkapan-ungkapan yang sudah lapuk ( cliché ) . Keaslian isi hanya boleh dicapai dengan memperkayakan lagi pengalaman hidup serta pengetahuan melalui berbagai-bagai bidang hidup dengan amalan banyak membaca. Keaslian bahasa hanya dapat dicapai melalui latihan menulis yang banyak ( praktikal ). Mempelajari bahasa bukan mempelajari teori-teori sahaja , tetapi teori dan praktikal. Perlu diingatkan bahawa, ketajaman pemikiran dan kemahiran bahasa adalah saling berkaitan rapat antara satu sama lain dan kedua-duanya berkaitan rapat pula dengan ilmu logik. Oleh itu mustahaklah para penuntut mempunyai asas-asas pengetahuan ilmu logik.
Pastikan kamu dapat menulis dengan lebih baik lagi berbanding sebelum ini.
Practices makes perfect! :)
No comments:
Post a Comment